empat pagi
Monday, March 2, 2015 @ 12:59 AM


waktu itu, tinggal berapa detik Febuari ingin lambai pulang. 
empat pagi di Kampung Baru.
aku masih lagi sedut sisa asap dari tekak-tekak jantan jurdana mereka. 
rasa hiba. oksigen aku makin tipis. mata aku disiat mengantuk, 

empat pagi aku ditemani tembakau dan hilai tawa anak muda. 
pak arab bertopengkan bangla. kami duduk di taman Castle.
tiada bumbung. hanya pokok kelapa julang tinggi tutup sikit sikit langit subuh.
asap dari mulut Firdaus megah naik atas. angin sering hala ke kanan. 
dan rasa asap anggur lekat di hidung. dan batuk aku panjang. 

Amoi rancak dengan angan Aman bersama Dila. Firdaus dah khayal.
bosan.
aku sandarkan leher di kerusi. baring lihat langit sekaki kera. 
langit tanpa awan. daun hayun damai. pencakar langit kukuh keliling. 
sebutir bintang cerah. tiada bulan. tiada pesawat. 
resah, 

kenapa aku berada di khalayak mereka yang gelak penuh dusta?
apa aku duduk kaku pada jam sebegini? 
ini bukan kejutan budaya. aku tidak temui ketawa disini. 
aku lahir di bandar yang terpesong jauh akidah. 
aku bukan alami kejutan budaya. aku anak jati Kuala Lumpur. 
ini proses kenal diri? begini caranya? 

Dia berada di rantau orang asing. 
warga yang minum secangkir wine hanya seperti hirup kopi panas.
dia berada di sempadan negara bermusim
tetapi duduk mendengar kuliah agama. 
menjadi ketua ketua mewakilkan anak watan Malaysia. 
yang sedang juang harapan harapan kita. 

yang pada jam empat pagi dia berteleku di hamparan sejadah.
menangis atas salah-salah dia. yang tekun alun nama tuhan.
yang tidur berbasahkan doa-doa. 

dan apa aku buat pada jam empat pagi? 
bermandikan tembakau busuk. 
yang menolakkan diri sendiri ke neraka. 
bezanya empat pagi kami;
kerana empat pagi waktu tempatan, tiga pagi di negaranya. 


pulanglah wahai sayangku. bawa aku pulang.
aku sudah nyawa-nyawa ikan.